Monday, April 21, 2014

Somewhere Like This.



Pernah tak kau terlalu sayangkan seseorang? Kasih sayang itu melengkapkan segala yang mustahil dalam hidup kau? Dunia kau hari-hari sangat indah, pegangan tangan dia melengkapkan keresahan hati kau.. masalah seolah-olah macam tak wujud dalam kamus hidup kau, bila kau bersama dia. Pernah?

Kau dan dia saling melengkapi. Kasih sayang kau dan dia yang paling indah. Dia tak pernah kurang di mata kau. Dunia kau sentiasa indah, apabila kau bersama dia. Dia melengkapkan semua ruang-ruang kosong yang pernah kau rasa terdetik dalam hati kau.

Kau dan dia berjanji, sehidup semati. Kekalkan setiap janji-janji yang pernah kau dan dia lafazkan. Berjanji bahawa kau dan dia takkan berubah, walau sedikit, demi mempertahan keindahan dan kesempurnaan yang telah kau dan dia titipkan bersama.

Sehinggalah suatu hari, kau dan dia ditelan waktu. Kau dan dia dimamah arus perubahan dunia yang tak pernah berhenti. Dia tiba-tiba terlupa, dengan setiap bait-bait kata-kata yang pernah dia lafazkan pada kau. Dia berubah, sedikit demi sedikit, melenyapkan semua butir-butir harapan yang kau harapkan.

Dia berubah, terlupa semua janji, semua pengorbanan, semua kenangan dan semua keindahan yang kau lalui bersama dia. Semudah itu.

Kau kecewa. Kau menangis. Kau terduduk.

Kau tak berhenti bertanya, adakah dia masih ingat semua itu? Adakah dia masih sayangkan aku? Adakah dia ingat akan janjinya mahu sehidup semati dengan ku?

Ya. Setiap butir-butir itu ada dalam hatinya. Dia terlupa, dek kerana ditutup dengan perubahan-perubahan yang berlaku dalam hidupnya.

Kau? Kau merana. Menderita seketika. Hati kau renyuk. Hancur.

Namun, selepas seketika, kau bangkit. Kau lalui liku-liku hidup ini sendirian, kau berdikari, kau temui orang-orang baru yang mampu gembirakan kau, walaupun orang-orang itu tak pernah mampu menjadi seperti dia. Kau tiba-tiba mampu ketawa, tidak merasa hiba, walaupun tanpa dia yang kau harapkan.

Akhirnya, kau juga ditelan masa, dan kau juga terlupa semua janji, semua pengorbanan, semua kenangan dan semua keindahan itu. Kau telah sembuh, dan kau mula meneroka alam ini, tanpa dia.

Kau mampu, tanpa kau sangka.

***

Suatu hari, kau terjumpa surat yang pernah kau catatkan suatu ketika dulu, bersama dia.. dan kau tiba-tiba tertanya, "Kemana perginya kita?".

Namun, kau tersenyum. Sebab kau tahu segala keindahan itu pernah wujud dalam hidupmu. Allah izinkan kau merasai kasih sayang yang terlalu sempurna, walaupun hanya seketika. Yang sememangnya mustahil untuk kekal hingga ke akhirnya.

Akhirnya, kau redha. Melepaskan dia pergi, dan memaafkan dirimu sendiri kerana meninggalkan semua itu dengan kerelaan hati sendiri.

Kau takkan jumpa keindahan seperti tu lagi. Tetapi, Allah itu Maha Mengasihi. Dia anugerahkan kau dengan keindahan yang lebih baik, yang jauh lebih melengkapi hidupmu, dan juga seluruh roh dan jasadmu. Dan siapa sangka, kau mampu hidup tanpa keindahan yang dulu itu, yang pernah kau harapkan suatu ketika dulu.

Bila kau teringatkan semua itu, dan kau mampu senyum, maknanya kau dah move on. Sepenuhnya.


"Across the skies, Among glowing stars, That's where I'll find us.."

No comments: